Berapa Ramai Lagi Nyawa Harus Terkorban?

Agaknya telah berapa banyak kes kebakaran di sekolah-seolah agama/tahfiz? Berikut adalah senarai kebakaran yang saya jumpa. Ada sekolah yang kes kebakaran berlaku lebih daripada sekali. Yang bertanda merah adalah kes yang melibatkan kehilangan nyawa.

    1. Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah, Guar Chempedak, 1989. Kebakaran asrama perempuan madrasah mengakibatkan 27 orang pelajar maut. Punca kebakaran adalah api dari lilin yang dipasang untuk menerangi bilik asrama. Sumber: Astro Awani
    2. Sekolah Menengah Agama Darul Makmur, Pekan, 2007. Kebakaran itu mengakibatkan empat buat kelas, sebuah bilik komputer, bilik guru dan bilik pengetua termasuk wang tunai RM8,500 hangus. Sumber: Bernama
    3. Sekolah Pondok Bandar Hilir, Sik, 2007. Kebakaran memusnahkan 40 pondok. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan kerana kejadian berlaku pada musim cuti persekolahan. Sumber: Bernama
    4. Sekolah Nurul Hidayah Al-Quran Maahad Tahfiz, Pasir Putih, 2007. Sebuah blok asrama hangus. Tiada kemalangan jiwa kerana pelajar-pelajar sedang menghadiri kelas. Sumber: Bernama
    5. Sekolah Madrasah Darul Hikmah, Kota Kinabalu, 2009. Kebakaran berlaku di sebuah bangunan dua tingkat menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Sumber: Bernama
    6. Sekolah Pondok Lubuk Tapah, 2010. Sekolah Pondok Lubuk Tapah, pusat agama dan pendidikan tertua di Kelantan musnah dalam kebakaran. Sumber: Bernama
    7. Pusat Pengajian Hayatul Ulum, Hulu Langat, 2010. Seorang pelajar berusia lapan tahun rentung setelah terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah bangunan. Sumber: Bernama
    8. Sekolah Maahad Qiraat Al-Azhar Amal Aimy Zdalifah, Alor Setar, 2011. Tingkat atas bangunan sekolah musnah dalam kebakaran. Sumber: Bernama
    9. Maahad Tahfiz Assyifa, Kuala Terengganu, 2012. Tingkat dua sebuah bangunan asrama terbakar ketika pelajar solat zuhur di surau. Sumber: Bernama
    10. Sekolah Menengah Agama Nadzah, Yan, 2012. Sebuah asrama pelajar lelaki hangus dalam kebakaran akibat litar pintas sebelum merebak ke seluruh bilik dan memusnahkan katil, tilam dan segala kelengkapan pelajar. Sebelum ini, pernah berlaku kebakaran pada tahun 1996 dan 2005. Sumber: Bernama
    11. Maahad Tahfiz Al-Barakah, 2012. Seorang pelajar maut dan dua cedera dalam kebakaran di asrama sekolah. Sumber: Bernama
    12. Sekolah Menengah Agama Kunak, 2013. 81 orang pelajar tinggal sehelai sepinggang selepas asrama sementara yang menempatkan pelajar lelaki musnah dalam kebakaran. Sumber: Bernama
    13. Maahad Tahfiz Al Barakah, Tikam Batu, 2013. Kejadian berlaku dipercayai akibat litar pintas. Pelajar pintar, Aiman Nurhakim Yahya, 13, gagal menyelamatkan diri dalam kebakaran yang berlaku di salah sebuah asrama. Dua lagi pelajar cedera. Sumber: Astro Awani
    14. Maahad Tahfiz Muhammadiah, Kuantan, 2014. 17 orang pelajar tinggal sehelai sepinggang apabila bangunan madrasah dua tingkat yang turut menempatkan asrama mereka musnah dalam kebakaran. Sumber: Bernama
    15. Pusat Pengajian Islam dan Tahfiz Ribat Assyafie, Dungun, 2015. Sebuah premis yang menempatkan barang keperluan pelajar musnah dalam kebakaran. Sumber: Bernama
    16. Tahfiz Khairul Kalam, Shah Alam, 2015. Sebuah bangunan yang menempatkan asrama bagi 26 orang pelajar terbakar. Sumber: Bernama
    17. Sekolah Agama Raudhatut Tahfiz, Guar Cempedak, 2015, Tiga pelajar melecur dalam kebakaran bangunan asrama mereka. Sumber: Bernama
    18. Madrasah Tahfiz Al-Zahra, Gelang Patah, 2015. Sebuah asrama terbakar. Sumber: Bernama
    19. Sekolah Agama Al Ummi Tahfiz al-Quran, Labuan. 2015. Kebakaran memusnahkan 70 peratus sekolah. Semua pelajar dan gurunya selamat. Sumber: Bernama
    20. Maahad Tahfiz Jamiul Hasanah, Tanjong Karang, 2015. Kebakaran disebabkan litar pintas. Tiada kemalangan jiwa kerana kesemua pelajar menghadiri majlis jamuan hari raya. Sumber: Astro Awani
    21. Madrasah Tahfiz Al Redzuan, Dengkil, 2016. Asrama dua tingkat dan terbakar. Tiada kemalangan jiwa kerana pelajar berada di masjid. Sumber: Astro Awani, Bernama
    22. Sekolah Menengah Agama (SMA) As-Siddiqiah, Padang Kerasah, 2016. Blok asrama lelaki dan perempuan musnah. Tiada kemalangan jiwa kerana pelajar-pelajar berada di surau. Sumber: Berita Harian
    23. Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi, Sabak Bernam, 2016. Asrama musnah dalam kebakaran. Sumber: Bernama
    24. Maahad Tahfiz at-Tijarah, Selayang, 2016. Asrama pelajar musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai tiga tingkat. Sumber: Bernama
    25. Madrasah Tahfiz Al-Quran Raudhatul Ulum, Butterworth, 2016. Sebuah bangunan dua tingkat asrama musnah dalam kebakaran. Sumber: Bernama
    26. Madrasah Diniah Bakriah Pondok Pasir Tumboh, 2016. Asrama yang menempatkan lebih 50 penghuni hangus dalam kebakaran. Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan melaporkan ini kebakaran kedua di lokasi sama selepas yang pertama pada Julai 2016. Sumber: Bernama
    27. Maahad Tahfiz Daril Naim, Kota Bharu, 2016. Sebuah pondok lama musnah terbakar. Sumber: Bernama
    28. Pondok Nurul Iman, Pekan, 2017. Seorang murid cedera dalam kebakaran asrama. Sumber: Bernama
    29. Pusat Pendidikan Islam an-Nuur, Kuantan, 2017. Asrama mereka musnah terbakar. Ini merupakan kejadian kedua selepas kejadian pertama pada tahun 2006. Sumber: Bernama
    30. Sekolah Agama Maran, Maran, 2017. Seramai 73 pelajar perempuan tinggal sehelai sepinggang setelah asrama kediaman mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran. Sumber: Bernama
    31. Pondok Al-Baghdadi, Tumpat, 2017. Sebanyak 40 pondok kediaman yang menempatkan 100 pelajar berumur antara 15 dan 30 tahun hangus terbakar. Sumber: Bernama
    32. Pusat Pengajian Pondok Seri Permai, Pasir Puteh, 2017. Sebanyak 10 pondok kediaman pelajar musnah dalam kebakaran. Sumber: Bernama
    33. Mahaad Tahfiz Al-Quran Al-Ismailiah Mukim Lalang, Pasir Mas, 2017. 30 orang pelajar tinggal sehelai sepinggang apabila asrama penginapan mereka musnah dalam kebakaran. Sumber: Bernama
    34. Sekolah Agama Maahad Al-Islah, Teluk Intan, 2017. Bilik stor di bawah tingkat asrama yang didiami 68 pelajar perempuan musnah dijilat api.
      Sumber: Bernama
    35. Madrasah Addiniah Al-Latifiah, Pengkalan Hulu, 2017. 18 pondok penginapan yang menempatkan 66 penuntut musnah dalam kebakaran. Sumber: Bernama
    36. Maahad Tahfiz Al-Barakah, Sepang, 2017. Dua blok asrama yang menempatkan 100 pelajar lelaki musnah dalam kebakaran. Sumber: Bernama
    37. Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kuala Lumpur, 2017. Seramai 21 pelajar dan dua guru maut dalam kebakaran. Sumber: Bernama

     
    37 kes yang saya temui. The Star melaporkan terdapat 211 kes kebakaran di sekolah-sekolah tahfiz antara tahun 2015 sehingga Ogos 2017. Adakah ini tidak cukup banyak? Adakah bilangan nyawa yang terkorban dalam kebakaran masih terlalu sedikit maka kita rasa selasa menyalahkan takdir? Adakah bilangan yang terkorban belum cukup ramai untuk kita berhenti memandang enteng keselamatan anak-anak?

    Dalam kejadian kebakaran terkini, bangunan asrama dilaporkan belum mendapat sijil kelayakan menduduki bangunan. Antara hujah mempertahankan tindakan pengurusan sekolah yang menempatkan anak-anak di bangunan tersebut adalah:

    • Bangunan yang ada CF dan patuh piawaian keselamatan pun terbakar.
    • Ustaz-ustaz di sekolah tahfiz berniat ikhlas mahu mendidik anak-anak jadi orang beriman.
    • Jangan kecam ustaz-ustaz di sekolah tahfiz telah banyak menolong anak-anak fakir miskin, anak-anak yatim dan menyelamatkan anak-anak yang terjebak dalam gejala sosial.
    • Ustaz / ustazah di sekolah tahfiz sanggup terima gaji yang kecil demi untuk mengajar anak-anak ilmu agama.
    • Apa yang berlaku adalah ketentuan takdir yang kita tak boleh halang.

    Tidak satu pun daripada hujah di atas menangani persoalan paling asas: Adakah bangunan telah diiktiraf selamat dan mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan?

    Adakah kerana bangunan yang patuh semua S.O.P. dan piawaian keselamatan pun terbakar dan menyebabkan kematian maka tidak mengapa menempatkan anak-anak di bangunan yang belum disahkan selamat?

    Rasulullah s.a.w. mengajar kita supaya berusaha dan berdoa sebelum bertawakal. Baginda tidak pernah mengajar kita supaya berserah kepada takdir tanpa berusaha mengubah nasib. Tambat dahulu untamu, kemudian bertawakal.

    Dalam hal keselamatan di asrama dan sekolah:

    • Adakah pengurusan sekolah memastikan ada lebih daripada satu jalan keluar supaya bila berlaku kecemasan, masih ada jalan lain yang boleh digunakan untuk anak-anak lari menyelamatkan diri?
    • Adakah peralatan keselamatan dan pemadam api disediakan secukupnya?
    • Jika tingkap berjeriji, adakah di antara tingkap tersebut boleh dibuka dari dalam? Adakah penghuni tahu tingkap boleh mana yang boleh dibuka dan bagaimana cara membukanya?

    Jika langkah-langkah keselamatan paling asas pun tidak dipatuhi, jangan menyandarkan kecuaian anda pada takdir Tuhan. Jangan menyalahkan takdir jika unta hilang kerana tidak ditambat — salah tuan punya unta yang cuai. Jika unta yang telah kemas ditambat masih hilang, itu barulah ketentuan takdir yang tidak dapat dilawan oleh kudrat manusia.

    Saya tidak pertikaikan keikhlasan ustaz / ustazah di sekolah tahfiz. Adakah kerana mereka ikhlas dan telah membuat banyak kebaikan maka mereka diberi lesen untuk cuai dalam menjalankan amanah untuk menjaga anak-anak yang diserahkan kepada mereka?

    Ustaz / ustazah bukan nabi, maka mereka tidak maksum. Mereka buat silap sama seperti manusia lain. Jika mereka cuai dan silap, kita berhak menegur mereka.

    Mengkritik institusi agama tidak bermakna membenci institusi agama, tidak bermakna membenci orang agama, tidak bermakna membenci agama. Mereka yang mengkritik institusi agama lebih sayangkan institusi agama berbanding golongan yang memberikan kesetiaan secara membuta-tuli. Mereka mengkritik kerana mahu institusi agama menjadi lebih baik, kerana mahu ada accountability di kalangan orang agama. Apakah tidak wajar kita menuntut orang agama punya standard yang lebih tinggi untuk kita teladani?

    Institusi agama seharusnya jadi lebih baik daripada institusi lain. Adakah anda tidak bangga jika insitusi Islam jadi yang terbaik dan dijadikan ikutan oleh insitusi-institusi lain?

    Saya mohon mereka yang berkata itu adalah takdir dan ketentuan Tuhan yang tidak dapat kita halang lakukan dua perkara berikut mulai hari ini:

    • Biarkan semua pintu dan tingkap rumah anda terbuka luas sepanjang masa. Jangan tutup, jangan kunci. Rumah yang dikunci rapi pun ada yang dirompak. Kita tak boleh halang ketentuan Tuhan.
    • Bila anda mahu melintas jalan, tak perlu toleh kiri dan kanan. Teruskan saja melintas. Kalau anda belum ditakdirkan untuk mati, dilanggar lori panjang sepuluh tayar pun anda tetap tak mati. Kalau anda memang ditakdirkan untuk mati, dilanggar baby stroller pun anda mati. Kita tak boleh halang ketentuan Tuhan.

    Jika tidak sanggup melakukan dua perkara ini, jangan bercakap tentang takdir.

    Jika bangunan lain perlu patuh peraturan, mengapa bangunan sekolah tahfiz perlu dikecualikan? Kalau pemilik / pengurus bangunan lain dikenakan tindakan bila melanggar peraturan, mengapa tindakan yang sama tidak boleh dikenakan bila bangunan sekolah tahfiz tidak menepati peraturan?

    Kata Einstein, “Insanity is doing the same thing over and over again, but expecting a different result.” (Kegilaan adalah melakukan perkara yang sama berulang kali tetapi mengharapkan hasil yang berbeza.)

    Kita ada dua pilihan:

    • Teruskan bersikap defensive dan terus lakukan apa yang dilakukan selama ini. Selagi mana kita ikhlas, maka Allah akan permudahkan segala urusan. Biarkan unta yang tidak ditambat merayau sesuka hati dan bila ia hilang, redholah terima ketentuan takdir, ATAU
    • Pastikan semua piawaian keselamatan dipatuhi (tak perlu sebijak Einstein untuk lakukan ini). Tambat kemas unta sebelum bertawakal.

    Berapa ramai lagi perlu terkorban syahid sebelum kita mahu mengaku bahawa ada kelemahan yang perlu dibaiki?

    Anak-anak kita adalah aset umat. Mereka adalah amanah Allah — amanah yang akan ditimbang kira suatu hari nanti. Mungkinkah Allah cepat menjemput mereka sebagai peringatan kepada kita yang memandang enteng amanah untuk menjaga dan melindungi mereka?

    Berkaitan:

    Kemaskini Kes Kebakaran:

    1. 23 October, 2017: Yet another tahfiz school fire, this time in Shah Alam
    2. 9 October, 2017: 27 escape fire at tahfiz school in Kapar
    3. 28 September, 2017: Another tahfiz school blaze: 37 students escape, three treated for smoke inhalation
    Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s